1. Pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang gagal mendapat bantuan tersebut disebabkan masalah pada data pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) boleh membuat permohonan rayuan sehingga 31 Mei ini.
2. Menurut Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan, pemohon perlu mengemukakan penyata pendapatan atau penyata akaun bank yang berkaitan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semasa tempoh rayuan bagi mengesahkan maklumat pendapatan pemohon. Jelasnya, pemohon juga tidak perlu mendapatkan apa-apa pengesahan daripada SSM.
3. "Bagi mereka yang gagal dalam permohonan BR1M 2017, surat dan email pemakluman akan dihantar kepada pemohon yang akan menjelaskan sebab kegagalan dan juga kaedah rayuan. "Permohonan rayuan boleh dibuat secara percuma di mana-mana cawangan LHDN termasuk di Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang terdekat sehingga 31 Mei ini," katanya di sini hari ini.
4. Tambah kenyataan itu, pemohon hanya perlu mengisi borang rayuan dan mengemukakan borang tersebut bersama dokumen sokongan yang berkaitan seperti penyata gaji, penyata pendapatan, penyata akaun bank (syarikat atau persendirian) dan salinan kad pengenalan pasangan atau tanggungan terkini seperti yang dinyatakan di dalam surat atau email. - UTUSAN ONLINE
#br1m-pemohon-gagal-cara-rayuan